Apa yang dirindui tentang Manchester?

Benar aku memang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Sejak dari kecil sehinggalah dewasa cita-cita itu tidak pernah terpadam, terhakis walau dikit. Kerana azam dari kecil mahu mengikuti jejak langkah abah aku yang melanjutkan pelajarannya di sana, maka dengan berkobar-kobarnya aku berusaha untuk menempatkan diri serta mencari dana tajaan ke sana. Berkat usaha serta bantuan serta redha Ilahi maka 7 February 2014 berangkatlah aku seorang diri ke bumi ratu itu.

Melambai suami, mama, abah, along dan ida di KLIA. Aku sematkan di jiwa, aku harus kuat namun sebak di dada tidak dapat kuelak serta air mata berlinang diseka sedari awal-awal sebelum menjamah pipiku. Terasa kosong saat menaiki train ke terminal antarabangsa. Melihat suami aku bermata sayu saat lambaian terakhir menghantar aku ke lembah rindu. Sayu namun perlu akan perpisahan itu. Aku harus pergi menggapai cita-cita sejak kian lama.

Selepas hampir dua bulan barulah suami aku menyusulku ke sana. Setiap hari ada sahaja dugaannya. Jauh dengan suami membuatkan aku sedikit, bukan sedikit namun terlalu banyak sensitif. Aku fikir akan suami aku tidak mahu menyusulku ke sini. Dia tidak mahu melepaskan jawatannya sebagai Arkitek di ibu kota. Setiap hari boleh dikatakan aku bertekak dengan suami aku serta mendesaknya agar segera bersamaku di Manchester.

Ternyata aku terlalu mengikut perasaan. Suami aku sampai di Manchester airport pada 29 March 2014. Mata kami bersatu setelah sekian lama tidak bertemu. Pelukan kami kejap. Aku rindu dia, dia juga begitu. Kami menaiki teksi ke rumah sewa kami di Brideoak Street, Cheetham Hill. Kos perjalanan menaiki teksi dari airport adalah GBP27.

Terima kasih suami, kerana dirimu sanggup berkorban untuk diriku. Maaf jika terlalu mendesak. Aku terlalu merindui.

Maka bermulalah kehidupan kami berdua di Manchester. Aku ke kelas dua kali seminggu dan jika ada group discussion maka akan lebihlah langkahku ke University. Aku menaiki bas ke universiti. Aku perlu menukar bas sama ada di station suede hill, victoria station atau di piccadilly garden untuk ke university dari rumah kami. Ini kerana tiada bas direct ke university aku.

Setelah semester satu berakhir, kami bercuti ke Paris. Wah sungguh seronok percutian aku ke sana. Aku sudah terlalu lama bercita-cita mahu melihat Eiffel Tower. Akhirnya Allah SWT menghantar kami ke sana. Bulan madu kami aku kira apabila ke sana. Kami berkahwin ketika kami masih belajar maka percutian kami yang paling jauh yang pernah kami pergi berdua adalah Melaka. Alhamdulillah di atas rezeki Allah. Kami mampu untuk bercinta sambil tersengih manja di depan Eiffel Tower. Moment itu akan aku kenang dan ceritakan pada zuriat kami nanti. Pengalaman mommy dan papa menjejakkan kaki ke kota romatis itu.

Pengalaman berpuasa selama 19jam di sana ketika musim panas adalah pengalaman yang tidak dapat aku lupakan. Wahhhh,,, gastrik sahaja selalu. Tidur tu penemanku. Namun berjaya menghadapinya. Berakhir ramadhan, syawal menjelma. Sejujurnya beraya di sana agak seronok kerana kami tinggal di kolompok komuniti Malaysia di sana. Maka, sedikit sebanyak kami turut serta 'open house' yang diadakan setiap hujung minggu sepanjang syawal. Namun, semestinya tidak pernah akan sama raya di tanahair. Rindu membuak-buak akan keluarga merembeskan air mata rindu di saat berakhirnya ramadhan terakhir. Apa yang dapat aku lakukan adalah menelefon keluarga mendengar riuh-rendah suara mereka berkumpul beramai-ramai di rumah adalah tragis untuk aku di perantauan namun adalah magis untuk mereka kerana masih dapat berkumpul dengan diberi kesihatan sempurna oleh Allah SWT. Alhamdulillah.

Berakhir syawal, musim panas berganti musim luruh. Daun-daunan berguguran. Teringat akan series korea berjudul "Autumn in My Heart". Cukup cantik daunan kering yang gugur di atas tanah. Cukup asyik dan mengasyikkan. Terbuai rindu akan tanahair yang dedaunnya agak berbeza. Daunan kering di tanahair akan disapu dan dibakar di sesetengah ceruk kampung. Namun di sini, daunan itu yang mencantikkan hamparan semulajadi ciptaan Ilahi. Terpesona itu ungkapan yang dapat aku tafsirkan.

Berakhir autumn in my heart, berganti winter sonata pula. Musim sejuk yang mendera anggota. Rumah sewa kami rumah lama yang tidak double glazing maka sejuknya berganda jika dibandingkan dengan rumah baru yang sistem dan fungsi penebatnya lebih efisien. Dengan kehadiran heaters electric agak membantu namun faham-faham sahajalah, elektrik agak pricey di UK. Heaters yang built-in di seluruh rumah pula menggunakan gas untuk beroperasi. Ini yang parah sedikit kerana rumah sewa kami gas dibeli secara topup. Seakan topup handphone. Maka, penjimatan haruslah berganda kerana percubaan pertama menghidupkan heater seluruh rumah sepanjang dua malam berada di situ begitu menekan dompet.

Semester 2 bermula 29 September 2014. Bermula kelas Culture and People dan keesokan harinya kelas Procurement. Seronok juga tergaduh-gaduh ke kelas setelah hampir empat bulan cuti summer. Seronok sebab jumpa kawan-kawan sekelas yang lama serta yang baru.

Selesai semester 2, Along dan Ida datang bertamu di Manchester. Kami pun memulakan penggembaraan ke Bicester Village, Woking, Dublin, Budapest dan London. Seronok juga kerana bukan senang mahu berjalan-jalan dengan adik-beradik lebih-lebih pula luar dari Malaysia. Permandangan, culture dan orang-orang di tempat-tempat dilawati diamati dan dipelajari dikit-dikit. Biarlah sikit, asal ada usaha kan. Itu yang kita mahu.

Saat melambai Along dan Ida seteah percutian mereka tamat di Manchester Airport, terbit rasa sayu seakan saat meninggalkan Malaysia. Suami memujuk agar menahan tangis.

Bulan March, Abah dan mama pula datang menjenguk kami. Seluruh Manchester kami jelajahi. Ok itu tipu, sebahagian besar sahaja. Lepas itu, Abah dan mama bertolak ke Dublin. Sekembali Mama dan Abah dari Dublin, kami diberi berita gembira. Itu positif, ya positif selepas hampir tiga tahun kami bersama. menjerit aku dari dalam toilet memanggil mama. Cukup bahagia. Seakan tidak percaya.

Kami bertolak ke Paris pada 30 March bersama Abah dan Mama. Seronok yang tak tergambarkan. bayangkan, dapat ke kota yang kami amat suka bersama ibubapa tercinta. Nikmat mana yang engkau dustakan? Ya Allah sangat bersyukur. Tapikan nanti aku nak bercerita dekat anak kami, dia dah sampai Paris tapi dalam perut aku. Maka, bukan berempatlah kami ke sana namun berlima. Wow, cukup magis kan.

Abah dan mama meneruskan pengembaraan ke London. Kami kembali kepada rutin biasa. Ok, morning sickness bermula. Setelah hantar research proposal. Untuk kembangkan research proposal menjadi Dissertation mengambil masa yang lama kerana kesihatan aku terganggu. Morning sickness mengambil masa dalam dua bulan untuk surut. Senak di bawah ari-ari berganti. Maka, aku apply extension of time untuk hantar Dissertation. Sepatutnya aku hantar 8 May 2015 namun bulan April adalah bulan yang paling lembik bagi aku. Makan dan muntah. Toilet dan sinki jadi teman. Kadang-kadang plastik pun boleh. Nanti, tolong informkan Ariana yang banyak cabaran yang mommy dia hadapi untuk bertemu dia. Tapi tidak mengapa, tetap kutekadkan jiwa, kuatkan hati untuk bersamamu kelak wahai anak sulungku.

6 July 2015, kami berangkat pulang ke tanahair. Meninggalkan sejuta kenangan dan rindu membuak-buak pada bumi Manchester.

Dan hari ini 6 August 2015, sudah sebulan kami berada di tanahair. Banyak cerita yang berlaku sepanjang sebulan ini. Tapi kenangan dan udara di Manchester yang aku rindu sangat. Sejuk-sejuk sepoi-sepoi bahasa. Wah, rindu terbawa mimpi.

Manchester, tunggu kami datang lagi. Aku nak tulis Manchester, tunggu kami pulang tapi aku sedar tempat asalku Malaysia, so tak perlu poyo nak tulis pulang, Datang je memadai. hihi.

Soon very soon, insyaAllah..

Nukilan: Wan Naqiyyah Wan Hassan, 1014pm, 6 August 2015, Kuala Terengganu.





Comments

Popular posts from this blog

LUKA

...ANG

Is hurtful sentence a truly motivational quote?